Sabtu, 30 Januari 2016

SYUKUR ALHAMDULILLAH....AKHIRNYA....

Assalamualaikum & salam perpaduan,

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kerana masih diberi nafas oleh-Nya untuk dapat menjengah ke blog ini setelah lama menyepikan diri dek kerana kesibukan dalam menguruskan keluarga dan kerjaya. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian sarjana muda saya setelah mengharungi pelbagai dugaan dan rintangan. Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan sekuliah & rakan-rakan saya yang lain yang banyak memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya bergelar 'mahasiswi' di UPSI. Sesungguhnya jasa kalian hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya. Harapan saya akan masih diberi ruang dan peluang untuk terus mencurahkan ilmu di laman maya ini.

Khamis, 8 Disember 2011

Kata Nafi

Kata nafi ialah perkataan yang digunakan untuk menafikan sesuatu pernyataan.

Terdapat dua kata nafi, iaitu bukan dan tidak.

Kata nafi bukan digunakan untuk menafikan frasa nama dan frasa sendi nama.

Contoh ayat.
1. Lelaki yang berbaju merah itu bukan ayah saya.
2. Ini bukan untuk Suzi, tetapi untuk adiknya.


Kata nafi tidak digunakan untuk menafikan frasa kerja dan frasa
adjektif.

Contoh ayat.
1. Melepak di pusat membeli-belah tidak memberikan sebarang faedah.
2. Sungai di belakang rumah saya tidak dalam sangat.


Kata nafi bukan boleh hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika ayat itu tidak setara.

Contoh ayat.
1. Budak itu bukan pandai sangat tetapi dia rajin belajar.
2. Kucing itu bukan garang tetapi suka bermanja.